Wednesday, August 16, 2017

Laporan Hari Bahasa


文/林秋虹老师(国文科教研组组长)

     Objektif Hari Bahasa pada tahun ini adalah untuk memupuk minat pelajar dalam pembelajaran Bahasa Malaysia melalui permainan.

     Pada awal tahun kami sudah merancang untuk mengadakan aktiviti permainan bahasa pada tahun ini dengan bertemakan Sehari Ceria Bersama Bahasa. Oleh sebab aktiviti kali ini melibatkan semua kelas, maka kami terpaksa menjalankan Hari Bahasa dalam dua hari. Setelah banyak kali bermesyuarat dan berbincang dengan guru-guru Bahasa Malaysia serta Ketua Unit Akademik  Puan Koh, akhirnya pihak sekolah memutuskan untuk mengadakan Hari Bahasa pada 12 dan 14 Julai 2017.  

     Untuk mencapai objektif kami dan bersesuaian dengan tema Hari Bahasa, iaitu "Sehari Ceria Bersama Bahasa", maka kami telah menjalankan aktiviti permainan bahasa ini dalam dua cara, iaitu pertandingan dan karnival. Tiga jenis permainan bahasa yang telah kami sediakan untuk para pelajar dan setiap kelas wajib menghantar tiga kumpulan yang terdiri daripada empat orang peserta masing-msing bagi setiap permainan. Markah yang diperoleh daripada ketiga-tiga permainan ini akan dijumlahkan untuk menentukan kelas mana yang layak untuk mendapat sijil cemerlang, kepujian dan saguhati.

     Kami menjalankan aktiviti permainan bahasa ini berdasarkan stesen. Tiga stesen mewakili tiga jenis permainan bahasa, iaitu Stesen 1, Permainan Uji Minda, Stesen 2, Permainan Roda Bahasa dan Stesen 3, Permainan Peribahasa Bergambar. Pelajar-pelajar masuk ke dalam dewan mengikut sesi yang telah ditetapkan. Acara kemuncak pada hari tersebut ialah permainan bahasa yang disediakan khas untuk para penyokong kelas masing-masing. Kami juga telah menyediakan cenderahati kepada para penyokong sebagai insentif. Di luar jangkaan kami, sambutan para penyokong begitu hangat sehingga kami khuatir cenderahati yang telah kami sediakan tidak cukup untuk memenuhi permintaan!

     Kami telah meminta pelajar untuk mengisi borang maklum balas yang kami sediakan. Pelajar diberi masa seminggu, iaitu dari 12 hingga 19 Julai untuk mengisi borang maklum balas ini. Tujuan borang ini adalah untuk mendapatkan maklum balas pelajar berhubung dengan aktiviti permainan bahasa yang telah diadakan sebagai penilaian keberkesanan aktiviti dan penambahbaikan berterusan.

     Pada keseluruhannya, kami berasa puas hati dengan sambutan hangat dan memberangsangkan yang diberikan oleh pelajar. Sambutan hangat daripada mereka merupakan suntikan motivasi dan semangat buat kami semua. Di sini saya ingin merakamkan sekalung penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah banyak memberikan kerjasama untuk menjayakan Hari Bahasa. Bukan senang untuk menjalankan suatu aktiviti yang melibatkan pelajar seluruh sekolah. Tanpa kerjasama daripada semua pihak, nescaya Hari Bahasa dapat berjalan dengan lancar. 

     Akhir kata, biarlah saya berkongsi serangkap pantun bersama-sama rakan seperjuangan saya yang telah bertungkus-lumus untuk menjayakan Hari Bahasa ini.

Pergi ke gunung buat khemah,
Ambil pisau untuk diasah,
Walaupun kerja susah dan payah,
Hati puas kerana semuanya ceria.


No comments:

Post a Comment