Bagai air mengalir
Akhirnya tiba jua di muara waktu
Sebuah perjalanan yang penuh dengan suka duka
Perkhidmatan yang diterima jadi amanah
Dilepas pergi penuh hikmah
Berdiri kami di ruang ilmu ini
Mengimbau denai-denai kenangan
Seorang srikandi di pentas pendidikan
Sanggup berkorban nyawa dan badan
Menabur budi menyemai pengalaman
Mengangkat martabat menjulang kecemerlangan
Srikandi itu, dalam diam jana fikirnya
Dalam getir ada sabarnya
Dalam gurau ada seriusnya
Dalam tegas ada lembutnya
Dalam marah penuh dengan sayangnya
Di ruang ilmu ini
Menangisi sebuah kehilangan
Atas pemergian srikandi itu buat selama-lamanya
Kalau kami daun, dialah hijaunya
Kalau kami buah, dialah tampuknya
Kalau kami hulu, dialah kerisnya
Kalau kami sampan, dialah pendayungnya
Kalau kami harum, dialah kasturinya
Kalau kami putera dan puteri, dialah permaisurinya
Kalau kami menerima cahaya
Cahaya itu datang daripada mutiara ciptaannya
Kerana srikandi itu ibarat sebutir mutiara
Yang menerangi seluruh warga ruang ilmu ini
Jasa dan budimu tidak akan kami lupa
Kebahagiaanmu di sana akan terus kami doa
Di pusaramu kami taburkan bunga-bunga dan air mata
Nukilan
Cikgu Aziz
No comments:
Post a Comment